Pihak berkuasa Perancis membuka kertas siasatan berhubung kehilangan Presiden Interpol Meng Hongwei.

Ia susulan laporan difailkan keluarga Hongwei yang menyatakan kali terakhir mereka berhubung ialah pada 25 Sept, hari beliau meninggalkan ibu pejabat Interpol di Lyon, untuk terbang ke China.

Isteri Hongwei juga mendedahkan turut menerima ancaman menerusi rangkaian media sosial serta telefon.

Susulan itu, polis Perancis telah meletakkan wanita itu, yang tinggal di Lyon bersama anak-anak mereka, di bawah perlindungan pihak berkuasa.

Sementara itu, media di China melaporkan, Hongwei, 64 tahun, ditahan bagi siasatan melibatkan disiplin sebaik tiba di negara itu.

Seorang jurucakap Interpol berkata pihaknya sedar tentang laporan media China itu tetapi tidak mahu mengulas mengenainya.

"Perkara ini harus dijawab oleh pihak berkuasa berkaitan di kedua-dua negara, Perancis dan China," kata Interpol dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hongwei mengetuai jawatankuasa eksekutif dan menentukan hala tuju Interpol. Beliau dilantik presiden pada November 2016 dan tempoh perkhidmatannya akan berakhir pada 2020.

Beliau juga merupakan pemimpin kanan dalam Parti Komunis China.