Polis Perancis pada Isnin menangkap 17 orang, yang semuanya memiliki rekod jenayah terancang, berkaitan kes rompakan melibatkan bintang televisyen realiti Kim Kardashian di Paris pada Oktober tahun lalu, lapor AFP.

Sumber polis memberitahu, pihaknya telah membuat beberapa serbuan di tengah Paris dan selatan negara itu selepas kesan asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui di kediaman mewah, tempat Kardashian diikat sebelum barang kemasnya dirompak oleh penjenayah bersenjata.

Rompakan bernilai 9 juta Euro (RM42.7 juta) itu merupakan kecurian barang kemas terbesar di Perancis melibatkan individu dalam tempoh dua dekad.

Suspek paling tua yang ditahan polis dalam kes itu berusia 72 tahun, selepas pihak berkuasa menyerbu masuk sebuah vila di bandar Grasse. Suspek paling muda adalah berusia 20-an.

Tiga wanita adalah antara yang ditahan, termasuk seorang wanita berusia 66 tahun di Gard iaitu sebuah wilayah selatan Perancis.

“Hampir semua yang ditahan dikenali terlibat dalam jenayah terancang,” ujar sumber polis.

Seorang pegawai polis mengesahkan laporan berita yang menyebut bahawa pemandu kenderaan yang dinaiki Kardashian ketika itu adalah antara individu yang ditahan.

Pemandu itu dikatakan telah membocorkan rahsia tentang ketiadaan pengawal peribadi Kardashian selain mendedahkan maklumat tentang tempat penginapannya.

Peguam Kardashian, Jean Veil, berkata anak guamnya menyampaikan ‘ucapan syabas’ atas usaha polis Perancis.