Anggota polis yang ditembak tiga kali selepas mengambil tempat sebagai tebusan secara sukarela dalam kejadian di sebuah pasaraya Perancis pada Jumaat telah meninggal dunia.

Arnaud Beltrame, 45 tahun, dikejarkan ke hospital selepas mengambil tempat seorang tebusan wanita di pasaraya Super U yang terletak di bandar Trebes.

"Beliau tumpas sebagai 'perwira', sanggup menggadaikan nyawanya bagi menghentikan tindakan pengganas," kata Presiden Emmanuel Macron dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Penyerang tersebut dikenalpasti polis sebagai Redouane Lakdim, warga Perancis berusia 25 tahun yang berasal dari Maghribi.

Menurut polis, Lakdim mempunyai kes jenayah lampau termasuk dalam beberapa kes pengedaran dadah.

Dia juga telah diletakkan dalam pengawasan polis pada 2016 hingga 2017 kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kumpulan pengganas, kata pendakwaraya Francois Molins.

Kejadian bermula selepas Lakdim menembak ke arah beberapa anggota polis sebelum menembak beberapa orang dalam sebuah kereta dan kemudian mencuri kenderaan tersebut.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, tiga muat manakala 16 lagi cedera dalam kejadian pada Jumaat.

BACA: Tiga maut dalam drama tebusan di sebuah pasaraya di Perancis

Beltrame menganggotai pasukan keselamatan yang pertama tiba di pasaraya tersebut ketika kejadian berlaku.

Ramai pengunjung berjaya menyelamatkan diri selepas menyorok di dalam bilik sejuk di bangunan tersebut dan kemudian melarikan diri melalui pintu kecemasan.

Dalam rundingan dengan penyerang, Beltrame bersetuju untuk mengambil tempat seorang tebusan bagi menyelamatkannya.

Apabila di dalam, Beltrame meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dalam keadaan panggilan aktif, bagi membantu pasukan keselamatan mengetahui keadaan di dalam.

Pasukan elit polis kemudian menyerbu pasaraya tersebut selepas tembakan dilepaskan.

Menurut polis, Beltrame ditembak tiga kali dan kematiannya membawa angka korban kepada empat.

Lakdim turut terbunuh selepas diserang polis.

Kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian namun kesahihannya masih disiasat.

Lebih 240 orang terbunuh di Perancis dalam beberapa serangan kumpulan militan sejak 2015.