Berita  | Dunia

Polis pun terkejut, lelaki pandu 300 kilometer bawa mayat mangsa bunuh

Polis pun terkejut, lelaki pandu 300 kilometer bawa mayat mangsa bunuh
Menurut jurucakap polis, Robert Gibson, suspek kelihatan sangat tenang seolah-olah tidak ada perkara yang buruk berlaku semasa berdepan dan mengakui tindakannya itu dengan pihak polis. - Gambar hiasan
CALIFORNIA: Seorang lelaki ditahan selepas mengaku kepada polis bahawa dia membawa mayat yang dibunuhnya di dalam kereta dalam kejadian di di Mount Shasta, California, Amerika Syarikat pada Isnin.

Selain mayat yang dibawa di dalam kereta, suspek turut mengaku membunuh tiga lagi mangsa dan ditinggalkan di dalam apartmen miliknya di Roseville kira-kira 300 kilometer dari balai polis itu.

Terkejut dengan pengakuan itu, pihak polis di balai itu segera menghubungi Polis Roseville yang kemudiannya mengesahkan menemukan tiga mayat di dalam apartmen lelaki itu seperti pengakuannya.

Bagaimanapun, identiti dan hubungan keempat-empat mangsa dengan suspek masih belum didedahkan pihak polis.

Menurut jurucakap polis, Robert Gibson, suspek kelihatan sangat tenang seolah-olah tidak ada perkara yang buruk berlaku semasa berdepan dan mengakui tindakannya itu dengan pihak polis.

“Suspek sangat tenang sehinggakan pada awalnya, kami tidak mempercayai apa yang dikatakannya adalah benar.

“Sehinggalah dia bertindak untuk menyerahkan kunci keretanya dan dibuktikan terdapat mayat di dalam keretanya,” katanya.

Gibson turut mengakui bahawa memang tidak pernah ada seorang pun membuat tindakan sebegitu dengan mengakui telah membunuh dan membawa mayat ke balai polis.

“Ini adalah perkara yang luar biasa bagi kami,” ujar Gibson lagi.

Susulan itu pihak polis Mount Shasta dan Roseville sedang menjalankan siasatan bersama ke atas pembunuhan keempat-empat mangsa itu. - Agensi



Tag: California, mayat, polis, mangsa, siasatan, suspek, bawa mayat, Mount Shasta



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.