Polis Maryland berjaya menjumpai mayat cucu saudara kepada bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Robert F. Kennedy di Teluk Chesapeake jam 5.30 petang Isnin.

Mayat Maeve Kennedy Townsend McKean, 40, ditemukan 1.8km dari rumah ibunya di Shady Side, Maryland, berdekatan kediaman keluarga McKean.

Polis sedang berusaha mencari anak lelaki Maeve, Gideon, 8, dan usaha itu bersambung pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Polis Sumber Asli Maryland berkata pencarian itu melibatkan penerbangan dan bot sistem pengimejan dalam air.

Polis dan anggota bomba dari beberapa agensi telah mengambil bahagian dalam pencarian menyeluruh yang meliputi 5,892 kilometer persegi.

Usaha mereka berhasil apabila menjumpai kanu itu pada Khamis di Rockhold Creek berhampiran Deale.

Maeve dan Gideon hilang bersama kanu milik mereka di perairan Teluk Chesapeake pada 2 April lalu.

Pihak berkuasa berkata Maeve telah menggunakan kanu untuk mengambil bola milik Gideon yang terjatuh ke dalam air.

Polis mempercayai angin kencang dan laut pasang telah menghalang McKean dan Gideon daripada mendayung semula ke pantai.

Suami Maeve, David McKean dalam akaun Facebook beliau pada Jumaat berkata beliau reda dengan tragedi yang menimpa isterinya.

Maeve pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Initiatif Kesihatan Global Universiti Georgetown.

McKean dan David mempunyai dua orang anak lagi iaitu Gabriella, 7, dan Toby, 2.