Polis Thailand menahan seorang lelaki dan melumpuhkan cubaan menyeludup 508 kilogram (kg) dadah sintetik jenis 'ice' bernilai sekurang-kurangnya 1 bilion Baht (kira-kira RM125 juta) ke Malaysia dari Laos.

Ketua Polis Thailand, Jen Chaktip Chaijinda yang membuat pengumuman mengenai rampasan itu, berkata nilai dadah tersebut boleh mencecah 10 kali ganda kepada 10 bilion Baht (RM1.25 bilion) jika ia berjaya menembusi pasaran yang tinggi di Eropah dan beberapa negara lain.

"Sumber dadah ini daripada kumpulan Wa (kumpulan etnik pribumi) di Laos dan diseludup ke Thailand sebelum diedarkan ke selatan Thailand dan Malaysia," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand di sini, hari ini.

Pemangku Komander Polis Wilayah Tiga Lt Jen Damrongsak Kittiprapat berkata polis merampas trak pikap yang ditinggalkan tidak jauh daripada pusat pemeriksaan keselamatan di wilayah Nakhon Ratchasima, awal pagi semalam dan menjumpai dadah tersebut dalam 11 karung baja.

Suspek berusia 30 tahun itu kemudian ditahan, setelah dia meninggalkan trak pikap tersebut selepas membuat pusingan 'U' apabila melihat pemeriksaan keselamatan.

Lelaki terbabit, menurut Damrongsak, berasal dari Nakhon Phanom, sebuah wilayah di timur laut Thailand, yang terletak berhampiran sempadan Thailand-Laos.

Beliau seterusnya berkata polis telah meningkatkan usaha mengesan seorang lagi lelaki, yang dipercayai bersama suspek berusia 30 tahu itu, namun berjaya melarikan diri sebaik sahaja trak pikap tersebut ditinggalkan.

Damrongsak berkata hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku beliau dan rakannya itu akan menerima 200,000 Baht (kira-kira RM25,000) untuk mengangkut dadah tersebut ke lokasi yang tidak didedahkan di bahagian tengah Thailand.

Polis masih meneruskan siasatan.

-- BERNAMA