Berita  | Dunia

Polis UK dedah video malam kejadian Trafalgar Square, beri ganjaran kepada saksi

Polis UK dedah video malam kejadian Trafalgar Square, beri ganjaran kepada saksi
Video tersebut jelas menunjukkan mangsa, Desmond O'Beirne, 51 tahun, diserang secara rambang oleh dua individu dan kemudiannya ditinggalkan di tengah-tengah tempat kejadian pada malam 3 Jun 2017 itu. - Foto: Twitter/Metropolitanpolice
LONDON: Selepas tragedi yang meragut nyawa Trafalgar Square, London, pihak Polis Metropolitan akhirnya mendedahkan video malam kejadian menerusi platform Twitter mereka.

Video tersebut jelas menunjukkan mangsa, Desmond O'Beirne, 51 tahun, diserang secara rambang oleh dua individu dan kemudiannya ditinggalkan di tengah-tengah tempat kejadian pada malam 3 Jun 2017 itu.

Pihak polis kini sedang giat mencari saksi terbabit dan akan memberi wang ganjaran sebanyak £20,000 (RM109,841) kepada sesiapa sahaja yang tampil dengan bukti yang sahih.


Terdahulu, pada malam kejadian, Desmond dilaporkan keluar bersama rakan-rakannya sebelum diserang dan dipukul oleh suspek.

Selepas kejadian, dia dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan koma sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pada Disember lepas.

Menurut Detektif Cif Inspektor, Noel McHugh, kejadian tersebut berlaku sebelum insiden serangan London Bridge, meskipun pada hari yang sama.

“Untuk sesiapa yang berada di London pada waktu itu dan mempunyai gambar atau video pada hari kejadian sila tampil ke hadapan kerana bantuan anda amat diperlukan,” katanya seperti dipetik dalam laporan portal The Telegraph.

Sementara itu, Vivienne Folan, yang merupakan kakak kepada mangsa, berkata pelaku harus dibawa ke muka pengadilan kerana telah mengakibat kematian adiknya.

“Saya berharap sesiapa yang mempunyai bukti untuk bantu menyelesaikan kes ini kerana Desmond merupakan seorang adik yang bertanggungjawab dalam hidupnya,” jelasnya.