Pencemaran bahan plastik yang kini ‘menyesakkan’ lautan di seluruh dunia mendapat perhatian pemimpin tertinggi Katolik, Pope Francis, yang menyeru agar isu itu diberi perhatian serius.

Itu bukan kali pertama Francis bercakap tentang isu alam sekitar. Sebelum ini, beliau lantang menyentuh isu kemusnahan akibat pemanasan global dalam ucapannya.

“Kita tidak boleh membiarkan lautan-lautan kita dicemari hamparan plastik yang terapung ini.

“Kita perlu berdoa dan yakin bahawa setiap sesuatu adalah dalam perancangan Tuhan, namun kita juga perlu bekerja seolah-olah semuanya (Boleh diubah) dengan usaha kita sendiri,” ujarnya.

Peringatan Francis itu adalah antara mesej utama dalam satu upacara keagamaan yang menghimpunkan penganut Kristian di Vatican City.

Tambahnya, kira-kira 100 pemimpin organisasi perniagaan telah dijemput ke Vatican untuk berbincang mengenai isu itu, dengan menegaskan bahawa ‘setiap daripada kita perlu bertanggungjawab ke atas orang lain dan masa depan planet ini’.

Data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 8 juta tan plastik seperti botol, bungkusan dan sisa lain terlepas ke dalam lautan setiap tahun sekali gus mampu membunuh kehidupan marin seterusnya memasuki rantaian makanan manusia.

Saintis juga telah menyeru supaya dilaksanakan peraturan yang lebih ketat tentang penggunaan plastik. PAda Disember lalu, hampir 200 negara bersetuju untuk mengehadkan pencemaran plastik di lautan.

Ia susulan jangkaan bahawa pada tahun 2030, bahan plastik di lautan akan melebihi jumlah ikan.