Pemimpin tertinggi Katolik, Pope Francis, dalam ucapan sempena Hari Easter pada Ahad, menyeru keamanan ditegakkan selepas insiden serangan di sempadan Israel-Gaza yang menyebabkan 16 orang terbunuh.

Dari atas balkoni Basilika St. Peter, Francis berkata kepada puluhan ribu penonton: “Konflik itu langsung tidak mengecualikan mereka yang tidak dapat mempertahankan diri.”

Beliau juga menyeru agar ditamatkan segera pergolakan di Syria, mendesak agar bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki negara itu. Selain itu, seruan keamanan juga dimahukan untuk selatan Sudan dan Republik Demokratik Congo.

Francis secara khusus merujuk kepada keganasan di Gaza pada Jumaat lalu, selain menyeru keamanan dikembalikan di tanah suci tersebut.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah menolak gesaan agar satu siasatan dijalankan megenai insiden di sempadan Gaza-Israel itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Federica Mogherini, ketua polisi luar Kesatuan Eropah, dan ramai pemimpin lain telah mendesak agar inkuiri segera dilakukan berkenaan insiden pada Jumaat itu.

Pope Francis juga memohon agar seluruh dunia mengutamakan perdamaian, bermula dengan Syria yang sekian lama berada dalam kemelut peperangan.