Calon presiden Prabowo Subianto yang tewas di tangan bekas gabenor Jakarta Joko Widodo hari ini mengfailkan rayuan di Mahkamah Perlembagaan Indonesia bagi mencabar keputusan itu dengan alasan pemilihan diselubungi penipuan dan kesalahan ketika proses mengira undi.

Bekas jeneral tentera itu mendakwa penipuan itu memberikan kelebihan kepada Widodo. Namun dakwaan itu lebih menjurus kepada suruhanjaya pilihan raya yang dikatakan gagal menyiasat dakwaan penipuan, kata seorang jurucakap Prabowo kepada AFP.

“Kami telah mengfailkan kes untuk mencabar keputusan. Kami juga menyerahkan bukti penipuan di 52,000 pusat mengundi,” kata Fadzli Zon, dari kem Probowo.

Probowo masih enggan menerima kekalahan meskipun suruhanjaya pilihan raya mengisytiharkan pada Khamis kemenangan pemilihan yang berlangsung pada 9 Julai itu memihak kepada Widodo dengan 53 peratus undian.

Prabowo yang berang dengan berita itu menarik diri dari proses pemilihan buat seketika pada Selasa tetapi menarik balik keputusannya itu pada Rabu dan mengambil keputusan untuk merayu.

Dengan perkembangan terbaru ini, proses untuk mengesahkan keputusan kemenangan pemilihan presiden republik itu akan mengambil masa lebih lama dengan pegawai mahkamah mengatakan keputusan rayuan dijangka hanya diketahui pada 21 Ogos.