Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penghormatan oleh kerajaan Senegal apabila Presidennya Macky Sall menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Leopold Sedar Senghor di sini pada Rabu.

Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba pada jam 5.30 petang waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia, Khamis) sempena lawatan kerja dua hari beliau ke republik ini.

Turut menyambut ketibaan beliau adalah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin.

Dr Mahathir kemudiannya menuju ke Istana Presiden bagi menghadiri mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin itu.

Media difahamkan, pertemuan tertutup tersebut menyaksikan kedua-dua pemimpin itu membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama serta global.

Pada Khamis pula, beliau dijadual menghadiri Diskusi Penel Peringkat Tertinggi bersama pemimpin Afrika selain tiga sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika (ICEA) kali ketiga.

Persidangan yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) di sini dari 17 sehingga 19 Jan itu menyaksikan penyertaan Dr Mahathir selaku ketua kerajaan negara luar Afrika tunggal yang hadir.

Sejak menjadi Perdana Menteri Ke-4, Dr Mahathir banyak terlibat dalam sesi perbincangan, dialog, rundingan serta sesi sumbang saran dalam mewujudkan kumpulan negara Afrika yang lebih aman, stabil serta membangun.

Ia termasuk menangani krisis apartheid, misi pengaman dan pengwujudan Kerjasama Pembangunan Afrika Selatan (SADC).