Presiden baru Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa, umum pelantikan bekas komander tentera, Constantino Chiwenga untuk mengisi satu daripada dua jawatan naib presiden.

Pelantikan Chiwenga dijangka dibuat secara rasmi selepas beliau bersara daripada tentera.

Berdasarkan perlembagaan Zimbabwe, Chiwenga perlu meletak jawatan dalam tentera untuk berada dalam pentadbiran kerajaan.

Pengumuman Mnangagwa ini meningkatkan kebimbangan berhubung pengaruh tentera selepas pasukan itu membantu menyingkirkan bekas presiden Robert Mugabe bulan lalu.

Mnangagwa berkuasa selepas Chiwenga mengetuai rampasan kuasa tentera yang memaksa pengunduran Mugabe, ketua negara tertua pada usia 93 tahun.

Rampasan kuasa menyaksikan Mugabe letak jawatan selepas berkuasa 37 tahun.

Seorang lagi naib presiden merupakan bekas menteri dalam negeri, Kembo Mohadi.

Kedua-dua mereka dijangka angkat sumpah jawatan rasmi pada Khamis.