Berita  | Dunia

Projek landasan kereta api Thailand-China dijadual bermula 2017

Projek landasan kereta api Thailand-China dijadual bermula 2017
Thailand turut bercadang mengusahakan satu lagi projek kereta api berkelajuan tinggi dari Bangkok ke Rayong secara perkongsian dengan pihak swasta. - Gambar hiasan
BANGKOK: Projek pembinaan landasan kereta api dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima yang membabitkan kerjasama antara Thailand dengan China dijangka bermula pada 2017, menurut Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand Chatchai Thipsunaree, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata pada masa akan datang projek itu akan diperluaskan lagi hingga ke Nong Khai di sempadan Thai-Laos.

"Boleh dikatakan sebanyak 90 peratus kontrak mengenai projek berkenaan hampir selesai yang pasti pembinaan akan bermula pada tahun ini," kata Chatchai kepada Xinhua selepas sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan.

Pada sidang media sama Menteri Pengangkutan Thailand Arkhom Termpittayapaisith berkata, projek berkenaan penting kepada kerajaan kerana ia dapat menghubungkan negara itu dengan negara jiran.
Projek landasan kereta api berkelajuan tinggi sejauh 252 kilometer dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima akan disambung sejauh 355 kilometer hingga ke Nong Khai di sempadan Thailand-Laos.

Menurut Arkhom, ia sekaligus menghubungkan Vientiane ke Kunming di selatan wilayah Yunnan, China.

Melalui projek berkenaan kerajaan juga merancang untuk memperluaskan ke Kuala Lumpur dan akhirnya hingga ke Singapura, katanya.

Selain itu, Thailand turut bercadang mengusahakan satu lagi projek kereta api berkelajuan tinggi dari Bangkok ke Rayong  secara perkongsian dengan pihak swasta.

Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik Thailand-Cina dan Majlis Penyelidikan Kebangsaan, Aksornsri Phanishsarn memberitahu Xinhua, beliau berharap China dapat membantu mempercepatkan projek berkenaan dan memastikan ia berhasil.

Sementara penyelidik kanan Pusat Pengajian China di Universiti Chulalongkorn Swai Visavanant menggesa kerajaan Thailand mempercepatkan pelaksanaan projek jika tidak mahu negara kehilangan peluang baik dalam pembangunan.

Bagaimanapun, China dan Thailand masih memerlukan persetujuan dalam tiga perkara iaitu bahan pembinaan, yuran perundingan dan keperluan jurutera China mendapatkan pensijilan kejuruteraan Thailand sebelum memulakan tugas di negara itu.

-- BERNAMA