Buat kali pertama dalam sejarah sejak 70 tahun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan proses pemilihan Setiausaha Agung Tetapnya secara terbuka.

Calon-calon yang bersaing perlu menjawab persoalan yang dikemukakan wakil kerajaan-kerajaan dunia dalam sesi pendengaran yang bermula pada Selasa.

Sesi pendengaran berlangsung selama tiga hari di ibu pejabat PBB di New York.

Kesemua lapan calon yang bakal menggantikan Ban Ki Moon perlu menjawab persoalan berkaitan pelbagai masalah dunia di hadapan duta besar 193 negara anggota.

Antaranya persoalan dari perubahan iklim hingga bagaimana mewujudkan perdamaian di Timur Tengah.

Pada masa sama calon-calon diberi peluang untuk memberikan visi dan misi mereka sekiranya terpilih menjadi Setiausaha Agung PBB.

Secara tradisinya, jawatan itu pernah disandang wakil dari Asia, Afrika, Amerika Latin dan Eropah.

Wakil dari blok Eropah Timur termasuk Rusia menyatakan jawatan itu perlu diserahkan kepada mereka kali ini.

Sekumpulan 56 negara juga berkempen supaya calon wanita dipilih untuk jawatan itu.

Bagaimanapun proses pendengaran itu tidak akan menjadi penentu tunggal kerana lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis masih memegang hak veto.

Antara calon-calon ialah Ketua UNESCO Irina Bokova dari Bulgaria, bekas Perdana Menteri New Zealand yang juga Ketua Program Pembangunan P-B-B Helen Clark dan bekas Pesuruhjaya Tinggi bagi orang pelarian Antonio Guterres dari Portugal.

Calon-calon lain ialah bekas Menteri Luar Macedonia Srgjan Kerim, bekas Menteri Luar Croatia Vesna Pucic dan bekas Presiden Slovenia Danilo Turk.

Sementara itu di Belgrade, bekas Menteri Luar Serbia dan Presiden Perhimpunan Agung PBB Vuk Jeremic memberitahu kerajaan negara itu akan mengundi beliau.