PENUNJUK perasaan kembali ke jalanan di Baghdad tiga hari selepas Mustafa al-Kadhimi dilantik sebagai Perdana Menteri Iraq yang baharu.

Protes bermula sejak 1 Oktober lalu, selepas rakyat memberontak mendakwa kerajaan mengamalkan rasuah, perkhidmatan awam yang teruk selain kekurangan pekerjaan meskipun negara itu kaya dengan minyak.

Jambatan Al Jumhuriyah yang menghubungkan Zon Hijau iaitu lokasi kebanyakan kedutaan besar dan asing berpusat telah 'dikuasai' peserta protes.

Penunjuk perasaan menakluki jambatan berkenaan, iaitu satu-satunya jambatan utama yang ditutup sejak protes bermula Oktober tahun lalu.

Sementara itu di Hong Kong, protes kembali tercetus pada Ahad selepas penunjuk perasaan berkumpul di pusat beli-belah bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan.

Mereka mendakwa, pemerintah mencabul kebebasan awam dengan mengarahkan pelaksanaan penjarakan sosial dan sekatan perjalanan.

Protes sama berlangsung serentak di enam daerah lain di Hong Kong.

Kerajaan Hong Kong memerintahkan supaya rakyat mengekalkan penjarakan sosial selain perhimpunan lebih daripada lapan orang adalah dilarang sama sekalai bagi mengekang penularan COVID-19.