Berita  | Dunia

Protes Iran mula ragut 3 nyawa

Protes Iran mula ragut 3 nyawa
Foto protes yang dimuat naik pengguna media sosial menunjukkan situasi ketika protes di Tehran pada 30 Disember 2017 (foto: REUTERS)
HOJEDK: Tunjuk perasaan di serata Iran yang masuk hari ketiga dilaporkan meragut 3 nyawa.

Menurut laporan Al-Arabiya, mangsa yang maut dilaporkan ditembak oleh Tentera Revolusi Iran di ‎Doroud, Loerstan.

Siri tunjuk perasaan skala besar diteruskan di bandar Hojedk, di tengah Iran, dengan rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang isu ekonomi.

Penunjuk perasaan didakwa didorong gesaan di media sosial dan laporan peningkatan harga barangan asas termasuk ayam dan telur.

Protes spontan itu dirakamkan oleh orang ramai, menunjukkan penunjuk perasan membaling batu ke arah pihak berkuasa, menggesa agar "diktator digulingkan".

Malah, ada yang dengan secara terbuka menyatakan sokongan kepada bekas maharaja Iran, Shah Reza Pahlavi.
Antara foto yang menunjukkan siri protes di serata Tehran yang turut menggesa agar kerajaan digulingkan (foto: Reuters)

Ini diadakan selepas penyokong kerajaan mengadakan tunjuk perasaan mereka, mengukuhkan sokongan kepada kerajaan pusat.

Protes di Hojedk dilaporkan yang terbesar sejak 2009 selepas pilihan raya presiden yang berpihak kepada Mahmoud Ahmadinejad.

Antara foto yang menunjukkan siri protes di serata Tehran yang turut menggesa agar kerajaan digulingkan (foto: Reuters)

Di serata Iran, protes turut diteruskan di bandar-bandar termasuk di bandar kedua terbesar, Mashhad dan ibu negara Iran, Tehran.

Media Iran didakwa tidak melaporkan protes tersebut dan mengumumkan bahawa ia adalah susulan arahan daripada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Iran menyatakan bahawa penduduk negara berkenaan ada hak untuk menyuarakan pendapat mereka.

Sekurang-kurangnya 50 penunjuk perasaan ditahan sejak Khamis.

TRUMP SOKONG

Sementara itu Presiden AS Donald Trump dilaporkan menyokong siri protes tersebut.

Tambahnya dalam kemaskini Twitter, rakyat Iran sudah muak dengan kerajaan yang menyeleweng dan menggunakan hasil negara untuk membiayai pengganas di luar negara. 


Trump tegaskan yang Iran seharusnya menghormati hak rakyatnya untuk bersuara.

Trump mengingatkan Iran bahawa dunia kini sedang memerhatikan perkembangan berkenaan dengan rapat.