RUSIA tidak akan melaksanakan hukuman berat terhadap empat penunjuk perasaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Pussy Riot selepas mereka mengadakan protes anti Vladimir Putin pada perlawanan akhir Piala Dunia, lapor BBC.

Sebaliknya, empat yang ditahan, termasuk seorang peragawati, Nika Veronika Nikulshina, 21, pelajar ekonomi, dan Olga Kurachyova, 25, yang bertugas di BBC Russia, hanya akan menghadapi pertuduhan bukan jenayah.

Mereka akan didakwa dengan dua tuduhan iaitu melanggar peraturan dalam acara sukan dan memakai pakaian seragam polis tanpa kebenaran.

Kedua-dua kesalahan itu membawa denda maksimum masing-masing 10,000 rubel (RM 649) dan 1,500 rubel (RM 97).

Pussy Riot, dalam kenyataannya memberitahu, protes itu adalah bantahan terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Rusia.

Insiden pada minit ke 52 perlawanan itu membuatkan perlawanan antara Perancis dan Croatia terhenti selama 25 saat.

Tiga ahli kumpulan itu sebelum ini pernah dipenjarakan pada 2012 kerana menyanyikan lagu bertemakan anti Putin di bandar Moscow.