Perdana Menteri Yaman Ahmed Dagher menuduh puak pemisah yang disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE) melakukan cubaan rampasan kuasa selepas mereka menyita beberapa pejabat kerajaan sewaktu pertempuran di pelabuhan bandar Aden.

Menurut Al-Jazeera, pertempuran berlaku pada Ahad selepas tentera Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi disokong oleh Arab Saudi cuba menghalang puak pemisah tersebut dari masuk ke bandar itu.

“Di Aden, sistem dan undang-undang sudah tunggang terbalik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

“Apa yang sedang berlaku sangat bahaya dan memberi kesan terhadap keselamatan, kestabilan dan kesatuan Yaman…

"Salah laku ini tiada bezanya dengan jenayah yang dilakukan oleh puak pemberontak Houthi di Sanaa,” tambah Ahmed.

Sekurang-kurangnya 10 orang mati dan 30 cedera dalam pertempuran tersebut, mengikut sumber hospital.

Dilaporkan juga, pelabuhan utama bandar itu turut ditutup.