PULAU Ternate terletak di sudut timur laut Kepulauan Melayu dan dibatasi Laut Maluku dan terletak berdekatan dengan Pulau Maitara dan Pulau Tidore. Pulau ini sudah terima Islam sejak abad ke-12 dan sultannya wujud sampai sekarang.

Semasa zaman kegemilangan kesultanan ini, wilayahnya bertebaran dari kepulauan Maluku ke Pulau Timor ke barat Papua dan selatan Mindanao – memang dahsyat kesultanan ini, sampai Portugis dan Belanda pun jadi takut.

Kota Ternate dari Udara

Dengan penduduk lebih 1.1 juta, Maluku Utara asalnya sebahagian daripada Maluku (yang majoritinya Kristian).

Tahun 1999, Kristian dan Muslim bergaduh sesama sendiri – ada yang dipenggal kepala, ada yang kemaluan dikhatankan secara paksa dengan pisau kotor dan ada yang diseksa – pendek kata memang huru-haralah dan akhirnya terpisah jadi Provinsi Maluku Utara.

Sekarang semua sudah aman sentosa. Ibu kota Maluku Utara ialah Sofifi di Pulau Halmahera tetapi bandar terbesar ialah Kota Ternate di Pulau Ternate.

Di sebalik adanya kesultanan yang hebat, kekayaan alam Ternate (yang dikenali sebagai kepulauan rempah, yang merupakan komoditi paling mahal seperti petroleum sekarang) telah menarik banyak kuasa asing datang ke sini seperti Inggeris, Belanda, Sepanyol dan Jepun, sampai naik meluat Sultan Ternate itu dengan pendatang-pendatang asing ini.

Disebabkan Sultan Ternate ini tidak mahu tunduk kepada pendatang asing ini, kuasa-kuasa Barat seperti Portugis dan Belanda banyak membina kubu-kubu pertahanan di sini. British datang dulu cuma mahu berdagang dan tiada niat untuk menjajah. Tahun 1950 – Sultan Ternate pun bersetuju untuk bergabung menjadi sebahagian daripada Indonesia.

Bagaimana Mahu Ke Sana?

Ternate ini ibarat syurga tersembunyi dikelilingi lautan biru dan perbukitan seluas mata memandang yang jarang sekali dikunjungi para pelancong, terutamanya orang Malaysia.

Masyarakat tempatan akan teruja kalau dapat tahu kita dari Malaysia dan akan bagi layanan yang baik. Orang Malaysia dipandang tinggi di sini, mungkin kerana Malaysia adalah sebuah negara yang dihormati dan kita dipandang satu rumpun dengan mereka – Melayu dan Islam.

Lapangan Terbang Sultan Babullah Ternate. Sultan Babullah merupakan pahlawan nasional Indonesia yang berjaya mengusir Portugis keluar dari Ternate.

Kota terbesarnya, Ternate, hanya boleh dicapai secara penerbangan terus dari Jakarta ataupun Ujung Pandang, Makassar. Kedua-dua bandar ini ada penerbangan langsung dari KLIA. Kaedah termurah untuk ke sana dari Kuala Lumpur adalah untuk terbang ke Jakarta dan dari sana, menyertai penerbangan Garuda, LionAir atau Sriwijaya Airlines dengan kos penerbangan pergi-balik berjumlah RM600 (ini harga tiket Lion atau Sriwijaya pergi-balik dari Jakarta-Ternate).

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah melalui beberapa fasa penambahbaikan, dan agak selesa kalau tak sewa hotel bermalam pun.

Pesawat dari Jakarta ke Ternate selalunya awal pagi (jam 3 pagi) dan jarak tempuh perjalanan ke Kota Ternate kurang lebih 4 jam (lebih kurang terbang dari Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka atau pun ke Hong Kong).

Gedung terminal Lapangan Terbang Sultan Babullah

Seperti yang disebutkan tadi, masyarakat Ternate ini sangat teruja kalau tahu kita datang dari Malaysia ataupun dari luar negara. Disebabkan Ternate ini sebuah pulau kecil dan terletak terpencil dari ‘tourist hotspots’ seperti Bali, Bandung, Medan atau pun Jakarta, dan agak susah untuk ke sana, alam sekeliling di Pulau Ternate ini memang menakjubkan.

Perjalanan dari lapangan terbang ke Pulau Ternate adalah 5 kilometer, tetapi teksi di sana cekik darah minta sampai Rp150, 000 (RM50.00). Grabcar dengan Uber ada tetapi tidaklah terlalu banyak. Masa kami terkapai-kapai cari pengangkutan termurah, kami didatangi seorang anggota polis Indonesia yang sangat baik hati untuk menghantar kami ke hotel. Pada mulanya kami menolak tapi beliau berkeras ingin menolong.

Kalau tak salah, namanya Pak Johan. Beliau sempat bawa kami jalan-jalan keliling kota sebelum ke hotel. Apabila kami mahu memberikan sedikit saguhati, beliau berkata: "Kalian tidak perlu memberi apa-apa. Cuma beritahu ke dunia bahawa polis Indonesia baik-baik".

Waktu itu kami terdiam dan kagum dengan Pak Johan yang berusaha semampunya menunjukkan kehebatan Indonesia. Kami juga sedikit terkilan kerana di Malaysia, terdapat sebilangan masyarakat yang bangga menceritakan keburukan negara kepada dunia. Apa-apa pun hidup perlu diteruskan.

Kami sampai di Ternate jam 8 pagi dan menyangka kami tidak dapat daftar masuk sehingga jam 12. Apabila penyambut tetamu di Hotel Muara Ternate dapat tahu kami dari Malaysia, mereka izinkan kami daftar masuk awal. Memang terbaiklah! Dapatlah kami mandi dan berehat dahulu.

Kota Ternate ini terletak atas Pulau Ternate, pulau yang muncul daripada letusan Gunung Gamalama beratus tahun yang lalu. Kota Ternate ini memang dibina di atas gunung berapi yang masih hidup.

Kota Ternate (ceruk kanan) dan Gunung Gamalama di Pulau Ternate

Kegiatan ekonomi di Pulau Ternate ini rata-ratanya dipegang oleh masyarakat Minang dan Jawa. Terdapat sedikit perusahaan milik masyarakat Tiong Hua.

Kota Ternate ini kecil, tapi disebabkan 95% penduduknya Islam, makanan halal tidak akan jadi sebarang isu. Sewa kereta per hari dengan pemandu dalam Rp600, 000 (RM200) tapi kalau sewa motor dalam Rp200,000 (RM70) pun dapat.

Tarikan yang paling rugi tak pergi di Pulau Ternate ini ialah Pantai Sulamadaha yang terletak di utara pulau ini – hanya dalam 20 minit memandu dari Pulau Ternate. Pemandangannya memang ‘pergh’ sangat cantik dengan air laut biru kehijauan. Masa kami ke sana, hanya kami berdua yang mandi di pantai tersebut.

Pantai Sulamadaha

Pantai Sulamadaha berlatarbelakangkan Pulau Hiri

Bayaran tidak dikenakan untuk masuk ke pantai ini dan terdapat gerai-gerai menjual makanan ringan di pinggir pantai ini. Kedalaman air lautnya cetek di tepi tapi berubah mendadak dalam di tengah – bagi siapa yang tidak mahir berenang disarankan menyewa pelampung.

Setelah berkunjung ke Pantai Sulamadaha, bolehlah juga ke Danau Tolire Besar, tasik (danau dalam Bahasa Indonesia) ini adalah tasik misteri yang mana atas alasan mistik atau aktiviti graviti, batu-batu yang dilemparkan ke dalam tasik ini tidak akan jatuh ke dalam airnya, akan tetapi akan jatuh ke pinggiran danau. Batu-batu kecil ada disediakan dengan membayar Rp 5000 (RM1.50) oleh penjaga-penjaga warung. Tasiknya terletak jauh di dalam jurang dan berwarna hijau – sangat mempesonakan.

Danau Tolire Besar

Setelah berkunjung ke Danau Tolire Besar, kami berkunjung ke kubu-kubu lama tinggalan Portugis dan Belanda serta ke Keraton Sultan Ternate. Kesultanan Ternate waktu kurun ke-13 sehingga kurun ke-17 sangatlah mashyur dan digeruni oleh pendatang-pendatang Eropah. Wilayahnya besar mencakupi Maluku Utara, Maluku Selatan, Sulawesi, Filipina selatan serta ke Timor-Leste. Disebabkan pendatang-pendatang Eropah ini perlukan rempah, mereka cekalkan hati di Pulau Ternate dan membina kubu-kubu pertahanan untuk menahan serangan Sultan Ternate.

Portugis tidak lama di Ternate. Pada tahun 1575, tentera Ternate di bawah Sultan Babullah dibantu oleh kesultanan-kesultanan yang di bawah jagaan Ternate telah menggempur Portugis dan mengusir mereka buat selamanya dari bumi Ternate. Kalaulah dulu Melaka berjaya mengusir Portugis dari Melaka...tetapi apakan daya, kesultanan Aceh dan kesultanan Johor tidak mahu bersatu di bawah panji Melayu dan Islam, tapi ini adalah cerita yang lain.

Balik kepada Ternate, tidak seperti kesultanan lain yang dihapuskan pemerintahannya, Sultan Ternate ada sampai sekarang dan kini mereka sedang memilih waris takhta kerana sultannya baru sahaja mangkat tak lama dulu. Waris ini perlu berpuasa selama seminggu dengan duduk di bilik gelap dan minum hanya air bunga melati. Sekiranya gagal, takhta tersebut tidak akan jadi miliknya.

Keraton Sultan Ternate

Setelah pulang dari berkunjung ke tempat-tempat menarik ini, hari pun sudah gelap. Waktu malam di Ternate sangat meriah. Banyak gerai-gerai makanan yang jual ikan bakar – sangat menyelerakan. Pendek kata, tidak akan kebulurlah kalau datang ke Ternate. Makanannya juga tidak terlalu mahal dan murah sikit daripada sajian ikan bakar yang dijual di Malaysia.

Pada hari kedua, kami ke Danau Laguna di selatan Pulau Ternate yang hanya 20 minit dengan motosikal. Dari puncak Danau Laguna tersebut, jelas pemandangan Laut Maluku yang membiru dengan pemandangan Pulau Maitara dan Gunung Tidore yang memukau. Pemandangan ini tertera pada wang Rp1000 Indonesia.

Pemandangan Pulau Maitara dan Gunung Tidore (yang lebih tinggi) dari Danau Laguna

Setelah ke sini, kami beransur ke Pulau Tidore, yang terletak di seberang Pulau Ternate (dalam 7 kilometer di antara satu sama lain). Pulau Tidore juga kaya dengan kecantikan alam dan kekayaan sejarah.

Dari Ternate, kami ada dua pilihan untuk ke Tidore, sama ada dengan feri (ada waktunya) atau dengan speedboat (sentiasa ada). Perjalanan ke Tidore hanya setengah jam dari Ternate (feri) dan 20 minit dengan speedboat. Tapi speedboatnya memang keselamatan tu sangat kurang – kalau hati kental dan suka ‘adventure’ boleh la naik speedboat. Masa naik speedboat tu baru sedar macam ini lah keadaan orang-orang Rohingya masa naik kapal datang ke Malaysia. Harga speedboat lebih mahal dalam RM30.00 per orang dan feri murah sikit daripada ini.

Speedboat – atas motosikal, penumpang dalam perut kapal.

Beratur naik feri

Pulau Tidore ini jauh lebih besar dari Ternate tapi sedikit kedesaan. Menurut orang-orang tempatan, masyarakat di Pulau Tidore ini tak izinkan masyarakat Tiong Hua Indonesia untuk menetap di sini. Jadi ekonomi tempatan masih dikawal oleh masyarakat setempat. Pada waktu itu kami sedar seteruk mana Malaysia dituduh sebagai sebuah negara rasis, orang-orang Malaysia tidak mengira kaum boleh menetap di mana-mana pun di dalam Malaysia tanpa prejudis. Mungkin di Sarawak dan Sabah ada aturannya yang melibatkan orang-orang Semenanjung (visa dan sebagainya) tapi tetap tidak ada prejudis.

Disebabkan populasi Tidore yang lebih kecil, lapangan terbang hanya ada di Ternate. Tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Tidore ini adalah Keraton Kesultanan Tidore (yang dahulunya adalah naungan Ternate), benteng peninggalan Portugis serta pemandangan-pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan. Perjalanan dari pelabuhan ke kota Tidore-Kepulauan memakan masa dalam setengah jam bermotosikal.

Bergambar dengan orang tempatan di benteng peninggalan Portugis

Keraton Kesultanan Tidore

Setelah selesai jalan-jalan keliling Pulau Tidore, kami pun berangkat pulang ke Ternate dengan feri. Feri jauh lebih selesa dan selamat tapi tidak ada ‘feel adventure’ yang sesetengah pengembara sukakan.

Setelah sampai di Ternate, kami pulang ke penginapan dan besoknya kami berangkat ke Jakarta sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan 4 hari 3 malam (1 malam di Jakarta, 2 malam di Ternate) adalah suatu pengalaman yang tidak akan kami lupakan. Walaupun sedikit mahal daripada ke Jakarta, Bali, mahupun Lombok, Ternate adalah syurga alam di timur Indonesia yang mempesonakan, seperti iklan pelancongan Indonesia, ‘Pesona Indonesia’. Semoga dalam pengembaraan yang berikutnya, kami dapat menjelajah Ambon dan seterusnya kepulauan Banda di selatan Maluku. Indonesia memang mempesona!

Pemandangan indah Pulau Maitara (kanan) dan Pulau Ternate (belakang)

Pulau Halmahera di kejauhan


* Mohd Hazmi Mohd Rusli (PhD) merupakan pensyarah kanan di Fakulti Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.