Puluhan ribu orang menyertai perarakan pada Ahad di jalanan Brussels, Belgium untuk menggesa seluruh kerajaan dunia menghormati komitmen dalam menangani masalah pemanasan global.

Demonstrasi aman itu dilangsungkan sempena persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan membincangkan langkah-langkah menguruskan hal berkaitan pemanasan global di Katowice, Poland.

Reuters melaporkan, pihak polis Belgium mengesahkan kira-kira 65,000 orang terlibat dalam demonstrasi 'Claim The Climate' pada Ahad. Kebanyakan daripada peserta perarakan mengayuh basikal masing-masing.

Demonstrasi aman di Brussels melibatkan peserta sekitar 65,000 orang. - Reuters

Perdana Menteri Belgium Charles Michel menyifatkan demonstrasi itu satu kejayaan besar dan berikrar untuk mempertahankan objektif persidangan PBB mengenai perubahan iklim selama dua minggu itu.

Para peserta berarak di jalanan ibu negara Belgium yang menempatkan ibu pejabat Kesatuan Eropah, bersama sepanduk yang tertera slogan-slogan menarik seperti 'KIta tiada planet kedua' dan 'Iklim Dahulu, Politik Kemudian'.

Pihak penganjur demonstrasi aman itu menyeru polisi iklim supaya dapat mengehadkan pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius, seiring matlamat yang dicapai dalam Perjanjian Paris pada 2015.