PEWARIS takhta diraja Britain, Putera Charles merasmikan Hospital Nightingale, sebuah hospital sementara yang berjaya dibina dalam masa sembilan hari di sebuah pusat pameran terbesar di timur London.

Hospital sementara itu akan membolehkan Pusat Perubatan Tempatan (NHS) merawat kira-kira 4,000 pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Baginda merasmikan pembukaan hospital tersebut menerusi video atas talian pada Jumaat selepas baginda disahkan positif COVID-19 dan kini dikuarantin di Scotland.

"Untuk menjadikan sebuah pusat pameran terbesar menjadi hospital sementara dengan 500 kelengkapan katil untuk menempatkan lebih 4,000 pesakit adalah perkara luar biasa.



"Saya merupakan salah seorang mangsa COVID-19 dengan simptom biasa, amat berbangga dengan pencapaian ini. Namun, bagi yang dalam keadaan kritikal, mereka akan melalui proses yang sukar.

"Mereka akan mendapat perkhidmatan yang diperlukan dan kembali mendapatkan kehidupan normal seperti biasa. Hospital ini menyediakan penjagaan intensif bagi yang amat memerlukan ketika ini," titahnya.

BACA: Putera Charles disahkan positif COVID-19

BACA: COVID-19: UK laksana perintah kawalan pergerakan

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock, menyifatkan pembinaan hospital sementara itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak.

Jelasnya, ketika waktu susah akibat penularan COVID-19 ini, fasiliti dan khidmat NHS amatlah diperlukan ketika ini.

Hospital sementara ini dikhaskan untuk merawat pesakit COVID-19 dan pesakit hanya akan dipindahkan ke hospital tersebut selepas hospital umum di London yang lain dipenuhi pesakit lain.

BACA: COVID-19: Menteri Kesihatan UK disahkan positif koronavirus


Pembinaan seberapa hospital sementara lain seperti di Birmingham, Glasgow dan Manchester kini dalam perbincangan untuk meringankan beban NHS sedia ada.

Peningkatan kes positif COVID-19 kini meningkat secara mendadak sejak minggu lali dengan angka kematian hampir mencecah 3,000 mangsa.