PUTERA Mahkota Bahrain, Sheikh Salman Hamad menawarkan diri untuk terlibat secara langsung dalam proses ujian vaksin COVID-19 fasa ketiga di negara itu.

Perkara itu dikongsikannya menerusi satu muat naik foto di akaun Instagram milik baginda, pada Khamis, lapor portal berita Al Arabiya.net.

Dalam muat naik berkenaan, baginda dilihat mengenakan pelitup muka berwarna kuning dan sedang disuntik vaksin berkenaan.


“Hari ini saya berdiri bersama sukarelawan vaksin kami untuk memainkan peranan bagi melindungi orang lain, bukan sahaja untuk kerajaan kami tetapi juga untuk masyarakat seluruh dunia.

“Krisis global ini memerlukan respon secara global. Di Bahrain, kami bangga untuk mengatakan bahawa kami telah mengambil langkah dan memikul tanggungjawab dalam proses pengagihan dan pengujian perubatan secara terbaik dan sekarang kami juga menyokong uji kaji vaksin secara selamat,” kata Putera Mahkota Sheikh Salman dalam satu kenyataan rasmi.

Bahrain ketika ini dilapor sedang giat menjalankan ujian percubaan klinikal vaksin fasa ketiga menerusi kempen 4Humanity yang digerakkan oleh syarikat farmasi G42 Healthcare yang berpangkalan di Abu Dhabi dekat Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Yordania.

Ujian percubaan itu dimulakan di Abu Dhabi pada 16 Julai lalu dan turut disokong oleh Jabatan Kesihatan Abu Dhabi, Kementerian Kesihatan dan Pencegahan (MoHAP) UAE dan Syarikat Perkhidmatan Kesihatan Abu Dhabi (SEHA).

Dilaporkan, lebih 4,000 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan bagi proses percubaan vaksin fasa ketiga itu.