Putera Mahkota Jepun, Naruhito, yang baru melangsungkan ulang tahun keputeraan ke-57 pada Khamis berkata sudah bersedia menggalas peranan sebagai Maharaja jika ayahandanya Akihito, turun takhta pada tahun depan.

Mengikut susur galur yang jelas, Naruhito akan mengambil alih takhta diraja Negara Matahari Terbit itu demi menaungi rakyat jelata.

Panel kerajaan kini berbahas tentang kaedah untuk membenarkan Akihito, 83, yang pernah menjalani rawatan jantung dan kanser prostat, untuk melepaskan takhta.

Pada Ogos lalu, Akihito sendiri menyatakan kebimbangan tentang kesukaran memikul tanggungjawab berdasarkan faktor usia dan tahap kesihatannya.

Kali akhir seorang maharaja diturunkan dari takhta adalah pada tahun 1817, dan undang-undang pada hari ini tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.

Pada Januari, media melaporkan kerajaan Jepun sedang memikirkan kaedah yang membolehkan Akihito memberi laluan kepada puteranya Naruhito menaiki takhta pada 1 Januari 2019.

Pada musim bunga ini, pihak kerajaan dijangka menyerahkan cadangan pindaan undang-undang tentang penurunan takhta kepada Parlimen.

Sementara itu, Naruhito memberitahu wartawan bahawa dirinya terharu dengan hasrat ayahandanya.

“Saya menerima hasrat Maharaja dengan penuh keikhlasan dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggungjawab.

“Sebagai simbol negara dan rakyat Jepun, saya akan berkongsi penderitaan dan kebahagiaan mereka,” ujar Naruhito yang merujuk kepada usaha memulihkan kenangan perit Perang Dunia Kedua.

Naruhito, berkahwin dengan bekas diplomat Masako Owada dan memiliki seorang puteri bernama Aiko, 15, yang tidak dibenarkan menaiki takhta kerana pewaris wanita tidak dibenarkan.

Beberapa keping gambar keluarga diraja itu telah disiarkan sempena ulang tahun keputeraan Naruhito.

Dalam gambar berkenaan, Puteri Aiko kelihatan sangat kurus namun jurucakap istana berkata tiada sebarang pengumuman tentang tahap kesihatan Aiko.