Berita  |  Dunia

Putera Mohammed bakal bertemu Donald Trump

Putera Mohammed bakal bertemu Donald Trump
Pertemuan Putera Mohammed dari Arab Saudi dan Trump adalah yang pertama sejak Presiden AS itu memulakan tugas di White House. - Reuters
DUBAI: Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman pada Isnin telah berangkat ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengisi jadual lawatan ke negara itu termasuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Donald Trump, ujar kenyataan dari istana.

Pertemuan berkenaan adalah yang pertama antara putera kepada Raja Salman Abdulaziz, yang merintis pelan reformasi ekonomi Arab Saudi, dengan Presiden AS itu sejak Trump memulakan tugas pada Januari.
Kenyataan itu menambah, selain perbincangan dengan Trump dan beberapa pegawai kanan AS lain, Putera Mohammed yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi dijangka berunding tentang pengukuhan hubungan dua hala dan menilai semula isu serantau yang menjadi kepentingan bersama.

Lawatan kerja itu dijangka bermula pada Khamis namun tiada butiran terperinci diberikan.

Raja Salman ketika ini berada di Jepun sebagai sebahagian daripada jadual jelajah Asia bagi membina jalinan ekonomi berkaitan peluang pelaburan, minyak dan jualan saham dalam firma Saudi Aramco.

Trump sebelum ini telah berhubung dengan Raja Salman sejurus memulakan tugas pada Januari, serta bersetuju untuk menyokong zon selamat di Syria dan Yaman.

Sebelum berlepas ke AS, Putera Mohammed telah menemui Ketua Pegawai Eksekutif Citigroup Michael Corbat di Riyadh pada Ahad untuk membincangkan tentang peluang pelaburan.