Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia menemui mangsa yang dipercayai jasad pembantu juruterang pesawat QZ8501 warganegara Perancis.

Mereka juga berjaya menemui bahagian hadapan fiuslaj penerbangan AirAsia yang terhempas pada bulan Disember yang meragut nyawa 162 orang, kata seorang pegawai pada Sabtu.

Ketua operasi pencarian, S. B. Supriyadi berkata, jasad itu ditemui semasa operasi pencarian pada Jumaat.

“Jasad itu dipercayai pembantu juruterbang warganegara Perancis kerana pakaian seragam berpangkat sarjan,” beliau berkata kepada AFP.

Tambah beliau, jasad itu, yang sudah kelihatan tidak sempurna kini masih berada di atas kapal perang Pacitan dan proses pengecaman akan dilakukan oleh Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Pasukan penyiasat Indonesia mendapati pesawat QZ8501 telah dipandu oleh pembantu juruterbang warganegara Perancis, Remi Plesel, sebelum ia terhempas dan bukannya Kapten Iriyanto, seorang bekas juruterbang pejuang yang berpengalaman.

Pesawat QZ8501 terhempas ketika cuaca buruk pada 28 Disember lalu di laut Jawa ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Pasukan penyelamat juga menemui tiga mayat nahas di dalam bahagian badan utama pesawat itu pada Jumaat dan tiga lagi berdekatan dengan fiuslaj, kata Supriyadi.

Setakat ini sejumlah 101 mayat telah ditemui.

Pasukan penyelamat kini masih gagal untuk mengapungkan fiuslaj pesawat QZ8501 dari dasar laut selepas gagal buat beberapa kali.