Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud menitahkan agar perintah pemotongan elaun, kemudahan kewangan dan bonus kakitangan awam serta anggota tentera negara itu ditarik balik.

Titah baginda disiarkan oleh Ekhbariya TV milik kerajaan pada Sabtu.

Pada September tahun lalu, kerajaan Arab Saudi mengarahkan pemotongan sebanyak 20 peratus faedah-faedah kumpulan terbabit akibat terkesan oleh harga minyak dunia yang rendah.

Ia adalah tindakan pertama kali seumpamanya yang dilakukan terhadap kakitangan kerajaan yang merangkumi dua pertiga tenaga kerja negara itu.

Langkah itu dikatakan dapat membantu kerajaan Arab Saudi melaksanakan perancangan dan program reformasi ekonomi negara itu yang juga dikenali sebagai Wawasan 2030 yang membabitkan penjanaan pendapatan dan belanjawan defisit.

Turut diumumkan pada siaran itu, beberapa perubahan dan perlantikan.

Ia termasuk perlantikan Putera Raja Salman, Putera Khalid sebagai duta negara itu ke Washington Amerika Syarikat dan Putera Abdulaziz sebagai Menteri Hal Ehwal Tenaga.