Ribuan rakyat Israel keluar beramai-ramai untuk menjalankan protes jalanan bagi mendesak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan selepas polis mencadangkan agar dia didakwa atas dua kes rasuah.

Sumber polis pada Selasa berkata, mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Netanyahu, sekali gus menjadi tamparan hebat buat ketua negara itu sepanjang empat penggal mendominasi politik Israel.

Netanyahu, 68, menafikan sebarang kesalahan dalam kedua-dua kes dan yakin menyatakan bahawa tiada yang akan berjaya dibongkar dalam siasatan polis.

Hal itu kini diserahkan kepada Peguam Negara, untuk menentukan sama ada pendakwaan akan diteruskan.

Orang ramai menjalankan protes mereka di Dataran Tel Aviv sebagai simbol bantahan terhadap Netanyahu. - Reuters

Di Dataran Tel Aviv, sekitar 1,000 hingga 2,000 pemprotes berarak bersama sepanduk yang memaparkan kata-kata seperti “orang bersalah sila pulang” dan “menteri jenayah".

“Kami rasa perdana menteri perlu segera letak jawatan. Dia tidak lagi boleh menjadi perdana menteri Israel,” ujar pesara guru muzik Shlomit Bar, 63.

Bagaimanapun, tiada keperluan dari sudut perundangan yang memerlukan perdana menteri mengundurkan diri dalam kes itu melainkan sudah didakwa di mahkamah.

"Dari segi moral, ini memalukan Israel. Apabila perdana menteri menjadi suspek jenayah serius. Dia harus pulang saja. Cukup!" ujar seorang lagi pemprotes, Oren Simon.

Satu tinjauan pendapat yang disiarkan pada Rabu menunjukkan hampir separuh pengundi di Israel mempercayai polis berbanding Netanyahu.

Tinjauan pendapat itu disiarkan menerusi saluran komersial Reshet, dengan 49 peratus responden menyebelahi versi polis bahawa Netanyahu telah melakukan sesuatu di luar batasan.

Baki 26 peratus pula berkata, mereka tidak tahu siapa yang harus dipercayai.

Antara kes yang dinyatakan dalam dakwaan itu adalah Netanyahu merupakan suspek yang terlibat dalam penerimaan hadiah, termasuk cerut, syempen dan barang kemas daripada golongan usahawan.

Dalam satu kes lagi, Netanyahu dikatakan terlibat dalam perbincangan dengan pihak akhbar terlaris Israel, supaya diberikan liputan menyeluruh tentang dirinya, sebagai balasan mengekang operasi syarikat akhbar pesaing.

Peguam negara dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk menembuat keputusan sama ada pendakwaan itu akan diambil ke atas Netanyahu.