Ketika umat Islam di Malaysia membanjiri bazar Ramadan dan berpuasa dalam cuaca nyaman dan keadaan aman tanpa banyak kesukaran, berlainan pula kisahnya dengan umat Islam di Pakistan.

Rakyat negara itu dilaporkan berperang dengan diri sendiri untuk menahan diri ketika berpuasa, malah turut diserang gelombang haba.

Pada awal Ramadan, suhu yang direkodkan mencecah 44 darjah Celcius, mengakibatkan 65 nyawa terkorban susulan keadaan itu yang dialami selama tiga hari berturut-turut.

Menurut aktivis Yayasan Edhi, Faisal Edhi, yang menguruskan rumah mayat dan ambulan di Karachi, kes kematian sering berlaku dalam kawasan miskin di bandar itu.

“Kami masih menyimpan mayat dalam bilik mayat dan pihak doktor telah mengesahkan mereka meninggal akibat diserang strok haba sepanjang tiga hari lepas,” beliau dipetik Reuters berkata.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Setiausaha Jabatan Kesihatan Bandar Sindh, Karachi, Fazlullah Pechuho.

“Pihak doktor dan hospital sahaja berkuasa menentukan sama ada kematian itu disebabkan strok haba atau tidak. Saya juga menafikan kematian berlaku akibat gelombang haba yang berlaku di Karachi,” tambahnya.

Edhi menjelaskan, kebanyakan penduduk yang meninggal dunia terdiri daripada mereka yang bekerja kilang dengan pendapatan rendah di Landhi dan Korangi.

“Mereka bekerja dengan dikelilingi bahan pemanas dan air mendidih, di kilang kain, selama lapan hingga sembilan jam,” ujar beliau lagi.

Sehingga artikel ini ditulis, cuaca di Pakistan kekal berada pada 40 darjah Celcius.

Pada 2015, kejadian sama berlaku hingga mengakibatkan 1,300 orang meninggal dunia.

Namun, kerajaan tempatan telah memberi jaminan bahawa peristiwa serupa tidak akan berulang dengan persediaan rapi yang dibuat dari segi kesihatan dan rawatan.

** Ketika artikel ini disiarkan pada 3 Jun 2018, portal kaji cuaca mencatatkan bacaan 38 darjah Celsius pada siang hari di Lahore, Pakistan. Di Malaysia, kepanasan yang dirasai ketika siang hari secara adalah antara 30 hingga 32 darjah Celsius.