Anak perempuan Presiden Amerika Syarikat, Ivanka Trump mengambil alih tempat bapanya di meja pemimpin dunia pada sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) pada Sabtu, menimbulkan persoalan tentang campur tangan keluarga dalam kerajaan di White House.

Tindakan itu menimbulkan kritikan tajam yang mengatakan bahawa langkah itu menunjukkan Donald Trump melanggar norma demokratik terhadap percaturan keluarga begitu juga protokol diplomatik.

Bekas duta besar NATO Nicholas Burns, yang pernah bertugas sebagai diplomat di bawah Presiden Bill Clinton dan George W. Bush, mengatakan kejadian itu juga melanggar protokol persidangan itu.

Perkara itu juga seolah-olah secara jelas membawa mesej kepada para pemimpin dunia tentang siapa yang memegang kuasa dalam kerajaan.

Burns berkata dalam pengalamannya pada persidangan lalu, hanya Setiausaha Negara sahaja yang akan mengambil tempat Presiden di meja persidangan.

"Ini adalah persidangan 20 pemimpin dari 20 negara paling berkuasa di dunia.

"Kuasa tidak boleh diberikan kepada ahli keluarga kerana kedudukan seorang Presiden,” jelasnya.

Trump dan pemimpin dunia yang lain di G20 duduk untuk sesi perbincangan di bawah tajuk ‘Perkongsian dengan Afrika, Migrasi dan Kesihatan’ dan kemudiannya diganti oleh Ivanka kerana bapanya perlu meninggalkan persidangan itu untuk satu mesyuarat tambahan.

Tindakan itu telah meletakkan Ivanka duduk di antara Perdana Menteri Britain Theresa May dan Presiden China Xi Jinping.

Beberapa pengkritik menyifatkan kehadiran Ivanka adalah satu pilihan yang tidak layak untuk mengisi peranan yang biasanya diisi oleh pegawai yang pakar tentang dasar.

Ini bukan sidang kemuncak yang pertama diganti Ivanka, pada Khamis, Ivanka dan suaminya, Jared Kushner telah menyertai presiden pada mesyuarat dua hala dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.