MENJELANG Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, jirannya di utara kini bersiap sedia untuk mengadakan perarakan tentera mega sebagai sambutan penubuhan Tentera Rakyat Korea (KPA).

Korea Utara menerusi kenyataannya mengesahkan bahawa ulang tahun ke-70 KPA akan diraikan pada tarikh rasminya, 8 Februari, bukannya 25 April iaitu tarikh yang diraikan sejak tahun 1978.

Seoul pula menggambarkan peristiwa itu sebagai 'menakutkan' tambah-tambah lagi ia diraikan sehari sebelum bermulanya kejohanan dunia terbabit.

Satelit Deimos-2 milik Syarikat UrtheCast berjaya merakamkan raptai perarakan tentera berskala mega itu.

Imej pertama dirakam pada 6 Februari menunjukkan kenderaan perisai dan formasi tentera di Mirim Parade Training Facility, Korea Utara.

Kenderaan perisai dan formasi tentera di Mirim Parade Training Facility

Imej kedua dirakam pada 1 Februari menunjukkan gelombang merah oleh tentera Korea Utara serta persiapan di persimpangan Kim II Sung Square, Pyongyang.

Gelombang merah oleh tentera Korea Utara dirakamkan satelit Deimos-2

Sebelum ini, Ketua Upacara Korea Utara dijadual melawat Selatan minggu ini dan menghadiri majlis pembukaan Olimpik Musim Sejuk, satu perkembangan luar biasa selepas dibelenggu ketegangan sepanjang tahun susulan program nuklear Pyongyang.

Kim Yong-Nam akan menjadi pegawai paling kanan dari Utara sejak sekian lama untuk menyeberangi Zon Bebas Tentera, pemisah kedua-dua Korea sejak berdekad lalu.

Perjalanannya akan menjadi kemuncak jalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua Korea yang dicetuskan oleh Sukan Olimpik Pyeongchang di Selatan.