“Jika mereka yang ingkar arahan mengamalkan penjarakan sosial pergi bekerja seperti saya lakukan setiap hari ini dan melihat sendiri keadaan di hospital, mereka pasti kemudiannya memilih untuk kekal berada di rumah.”

Itu luahan seorang pakar bedah zon perang, Dr David Nott dari England yang menyifatkan situasi berdepan krisis pandemik COVID-19 lebih ‘getir’ jika dibandingkan dengan insiden pengeboman seperti di bandar Aleppo, Syria.

Nott, sebelum ini berpengalaman bertugas di beberapa zon perang dunia, kini merupakan salah seorang petugas barisan hadapan bagi merawat pesakit COVID-19 di Hospital St Mary.

“Saya menganggap pandemik ini merupakan musuh yang paling digeruni yang pernah saya alami.

“Malah, saya terkejut dengan berita mengatakan ada petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) yang menderita gangguan stress pasca trauma (PTSD). Tugasan ini memberi kesan kepada emosi mereka,” lapor Nott kepada portal The Sunday Times.

Bagi beliau, jururawat juga seperti ‘hero sebenar’ di matanya kerana mampu bertahan selama 13 jam sehari selain tidak menghiraukan rasa tidak selesa ketika mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Saya tidak pernah melihat orang yang bekerja keras semata-mata untuk merawat setiap individu yang menderita sakit,” tambah beliau lagi.

Nott, yang telah berkhidmat sebagai perunding pakar bedah selama 23 tahun, berkata virus COVID-19 yang menyerang mangsa tidak kira umur itu dianggap masih menjadi teka-teki.

“Ramai pesakit yang kami terima adalah golongan muda yang berada dalam lingkungan usia 20 hingga 50-an. Namun, masih menjadi persoalan apabila ada yang sebelum ini sihat tanpa sejarah penyakit kronik turut dijangkiti,” katanya.

Untuk rekod, United Kingdom setakat ini mencatat 84,279 kes jangkitan dan 10,612 kematian akibat COVID-19.

BACA: COVID-19: Angka kematian melebihi 113,000 di seluruh dunia

BACA: Dibanjiri pesakit COVID-19, hospital di UK ini tolak pesakit baharu