Red Bull telah memohon maaf secara umum kerana telah menjalankan penggambaran iklan memaparkan seorang atlet parkour melakukan aksi lompatan akrobatik di salah sebuah candi suci Indonesia.

Jenama minuman tenaga itu menyiarkan permohonan maaf di dalam surat khabar utama negara itu dengan mengakui bahawa video yang dirakam di Candi Borobudur itu dibuat ‘tanpa izin daripada pihak berkuasa yang sepatutnya’.

Video itu menunjukkan atlet parkour tersebut melompat secara jungkir balik antara stupa candi berkenaan, sekali gus menimbulkan kemarahan di Indonesia, lapor AFP.

Borobudur dianggap sebagai tempat suci agama Buddha yang harus dihormati, malah ia merupakan ikon nasional yang mendapat status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dalam adegan video itu, atlet itu ditunjukkan melewati notis yang jelas memaparkan amaran ‘jangan memanjat’ dalam bahasa Inggeris dan Indonesia. Atlet itu bagaimanapun, terus membuat lompatan melepasi dua aras lingkaran stupa.

Video itu telah dirakam secara rahsia walaupun kru penggambaran telah diberi amaran oleh pengawal candi, ujar ketua Agensi Pemuliharaan Borobudur Marsis Sutopo.

“Mereka pasti telah merakam sekali lagi sewaktu pengawal-pengawal kami tidak melihat mereka,” ujarnya.

Video yang dimuat naik ke internet pada 18 Mac itu menyebabkan banyak pihak tidak puas hati dan menggesa pemerintah Indonesia agar menyaman Red Bull.

Pihak berkuasa kemudiannya mengeluarkan amaran kepada syarikat itu selepas mengenal pasti tiada kerosakan fizikal terjadi.

Pihak Red Bull telah menemui pegawai pemerintah pada awal Jun dan bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf secara umum dalam akhbar-akhbar tempatan.

“Kami mahu menjadikan kes ini pengajaran kerana kami bersusah-payah memulihara tapak bersejarah ini,” ujar pegawai dari Kementerian Pendidikan, Hilmar Farid.

Red Bull juga telah diarahkan untuk membuat penggambaran video baharu untuk menjelaskan kepentingan menjaga tapak-tapak suci.