Seorang remaja di India tertembak dirinya tanpa sengaja di kepala menggunakan pistol milik bapanya ketika hendak mengambil gambar selfie, ujar polis pada Ahad.

Walaupun parah, lelaki berusia 15 tahun itu kini sedang dirawat di hospital di Pathankot, Punjab dan dijangka selamat, ujar timbalan ketua polis Supt. Manoj Kumar.

Insiden tersebut berlaku pada Jumaat ketika pelajar sekolah itu sedang bermain di rumah dengan pistol revolver berlesen yang diperoleh dari dalam almari, ujar Kumar kepada AFP.

"Bapa dan keluarga kepada remaja itu berkata dia hanya mahu mengambil gambar selfie dengan senjata api tersebut.

“Kami akan bercakap dengan remaja berkenaan sejurus keadaannya disahkan stabil untuk berbuat demikian. Kami percaya sebahagian daripada kesalahan itu perlu dipertanggungjawab ke atas bapanya kerana tidak menyimpan senjata berkenaan di tempat yang berkunci di rumah mereka,” katanya.

Pada Februari lalu, seorang remaja telah digilis mati di landasan kereta api di Chennai kerana mahu mengambil gambar selfie.

Di Mumbai pula pada Januari, pihak berkuasa mula bertindak berikutan kes seorang lelaki yang mati lemas kerana mahu menyelamatkan seorang perempuan yang jatuh ke dalam laut ketika mahu mengambil gambar seumpama itu.

Pihak polis telah mengenal pasti 16 lokasi berbahaya untuk mengambil gambar selfie di Mumbai dan telah meminta pihak berkuasa tempatan mendirikan papan tanda amaran selain menyediakan anggota penyelamat.

Selain itu, pada April lalu, seorang lelaki cedera parah diserang gajah apabila dia cuba untuk bergambar dengan haiwan itu di sebuah festival di Kerala, lapor Hindustan Times.