Seorang remaja berusia 16 tahun di Jepun ditahan polis pada Sabtu selepas mengaku membunuh ibu kandungnya dengan menukul kepala ibunya berulang kali dan juga menikamnya di beberapa bahagian tubuh, ujar polis.

Polis berkata, pelajar sekolah menengah itu yang namanya dirahsiakan kerana di bawah umur, telah menghubungi polis sekitar jam 1.40 pagi waktu tempatan untuk melaporkan tentang insiden tersebut.

Dia mengaku membunuh ibunya di kediaman mereka di Kurashiki, Okayama, iaitu wilayah di sebelah barat negara itu.

Ketika pasukan penyiasat tiba di tempat kejadian, wanita itu dijumpai dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan berlumuran darah.

Mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada kepala dan bahagian perut segera dikejarkan ke hospital, namun telah disahkan meninggal dunia pada jam 2.48 pagi.

Pihak polis merancang untuk menjalankan siasatan kes pembunuhan, namun tidak mengulas lanjut.
Remaja berkenaan sudah ditangkap atas dakwaan membunuh.

Jenayah ganas sangat jarang berlaku di Negara Matahari Terbit itu, namun beberapa kes berprofil tinggi membabitkan golongan muda mencetuskan kebimbangan umum.