Seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik yang berpunca daripada lampu yang disambungkan dengan sebatang tiang elektrik.

Mangsa yang dikenali sebagai Refli dan seorang rakannya sebelum itu sedang bergurau berdekatan pagar besi Sekolah Tinggi At-Taufiq.

Tidak lama selepas itu, Refli telah memegang tiang elektrik yang bersambung dengan pagar besi berkenaan dan terkena renjatan.

Menyedari Refli terkena renjatan, rakannya yang dikenali sebagai Heru cuba menyelamatkanya namun turut terkena tindak balas yang serupa berpunca daripada tiang elektrik tersebut.

Heru bagaimanapun terselamat sebelum seorang guru dari sekolah berkenaan, Cheffi pula berusaha untuk menyelamatkan mangsa, namun dia juga tidak terkecuali terkesan dengan renjatan itu.

Menurut Ketua Rukun Tetangga Kelurahan Semper Timur, Jakarta Utara, Wahyu Iskandar, lokasi kejadian itu sebelum ini sering mengalami hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir.

Wahyu berkata, kejadian terkena renjatan elektrik itu pertama kali berlaku di kawasan penempatan berkenaan.

"Ini merupakan kali pertama berlaku selepas lima tahun lampu tersebut dipasang di situ," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Mangsa kemudian digegaskan ke Hospital Cilincing namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Sementara Cheffi dan Heru pula menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.