Ribuan penduduk tempatan menyertai satu perhimpunan di Budapest pada Sabtu, bagi membantah keputusan kerajaan Hungary menutup sebuah institusi pengajian tinggi, iaitu Central European University (CEU).

Penunjuk perasaan yang terlibat adalah terdiri daripada golongan pelajar, ahli akademik dan petugas pentadbiran CEU, sebuah universiti yang diasaskan oleh jutawan Amerika Syarikat George Soros.

Mereka mendesak kerajaan menandatangani perjanjian bersama New York yang membenarkan CEU untuk terus dibuka kepada umum.

Antara desakan lain termasuk pengurusan pembiayaan pendidikan yang lebih baik dan menyediakan lebih banyak peluang penyelidikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Viktor Orban dilaporkan berkata, CEU didapati tidak memenuhi piawaian akademik yang ditetapkan sejak beberapa tahun lalu.

Salah seorang pelajar PhD yang ditemui berkata, mereka tidak bersetuju dengan sikap kerajaan.

"Hanya kerana mereka mempunyai majoriti di Parlimen, mereka boleh sewenang-wenangnya buat keputusan dan tidak menghiraukan semua suara lain yang tidak sependapat.

"Inilah yang mereka lakukan selama ini. Ini yang kita takutkan, iaitu mereka akan tidak mengendahkan perbezaan pendapat begitu sahaja.

"Mereka akan merendahkan tahap pendidikan supaya lebih mudah untuk mereka menyampaikan mesej mereka," katanya.

CEU telah mengumumkan sebelum ini, ia akan berpindah ke Vienna sekiranya kerajaan pimpinan Orban tidak meluluskan rangka kerja undang-undang untuk universiti itu meneruskan operasinya di Hungary, sebelum 1 Disember.