SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 18 sebatan selepas Mahkamah Tinggi Singapura mendapatinya bersalah merogol dan mencabul ibu kandungnya sendiri yang berusia 53 tahun pada waktu kejadian.

Lelaki berusia 34 tahun itu sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mendakwa laporan tersebut dibuat ibu kandungnya dan bapa tirinya kerana ingin menghalaunya keluar daripada flat satu bilik yang didiami mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman, Foo Chee Hok berkata kes berkenaan menimbulkan dua persoalan yang merungsingkan – sanggupkah seorang ibu membuat laporan palsu dan menuduh anak kandungnya sebagai perogol; dan sanggupkah seorang anak lelaki melakukan serangan seksual terhadap ibunya.

Mahkamah bagaimanapun mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan membabitkan rogol dan cabul.

Tertuduh tidak dinamakan bagi melindungi identiti mangsa yang kini berusia 58 tahun.

Dalam kejadian awal pagi pada 4 Okt 2013, mangsa sedang tidur keseorangan sebelum anaknya pulang ke flat mereka dan melakukan serangan seksual.

Ketika perbicaraan pada 2016, tertuduh yang juga bekas koordinator keselamatan, mendakwa dia hanya mengangkat baju tidur mangsa kerana dia ingin melihat bahagian sulit ibunya.

"Tiada siapa yang menang dalam kes ini, mangsa akan selamanya membawa penghinaan, pengkhianatan yang diakibatkan oleh anak lelakinya pada 4 Okt 2013 dan juga ketika di mahkamah ini," kata Timbalan Pendakwa Raya Sharmila Sripathy-Shanaz.