Malaysia akan meminta kerjasama kerajaan Myanmar untuk membenarkan akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya di Rakhine.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ini adalah antara tiga resolusi yang akan dikemukakan oleh Kuala Lumpur semasa mesyuarat khas peringkat menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Rohingya, di sini esok.

"Resolusi lain ialah kita akan mendesak bagi pengiktirafan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Myanmar untuk memperbaiki keadaan komuniti yang terdedah kepada penindasan termasuk minoriti Rohingya Islam di wilayah Rakhine.

"Malaysia juga akan membangkitkan bagi penzahiran kebimbangan terhadap tindakan keganasan dan pencabulan hak asasi manusia ke atas minoriti Muslim Rohingya Muslim dan kesannya yang menular akibat tindakan itu," kata beliau kepada media selepas meninjau persiapan terakhir bagi mesyuarat di sini hari ini.

Malaysia akan menjadi hos Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai keadaan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

Anifah berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat yang diadakan atas permintaan kerajaan Malaysia untuk membincangkan nasib masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

"Kita telah menyaksikan "kesan penularan" akibat tindakan di Myanmar melalui penghijrahan beramai-ramai komuniti Rohingya merentasi sempadan ke Bangladesh.

"Ini adalah perkara yang menimbulkan kebimbangan kepada OIC kerana ia melibatkan umat Islam memandangkan OIC ditubuhkan untuk melindunginya," kata beliau.

Anifah berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan ucaptama pada mesyuarat esok kerana isu-isu tersebut mendapat perhatian beliau yang mengikuti dengan rapat perkembangan isu itu.

Beliau menegaskan bahawa selain resolusi, Kuala Lumpur juga akan mengeluarkan pernyataan muktamad, yang antara lain menyentuh mengenai kepulangan dengan selamat masyarakat Rohingya yang diusir.

Malaysia berharap bahawa kenyataan muktamad akan mendesak Kerajaan Myanmar untuk mematuhi obligasinya di bawah undang-undang antarabangsa dan mengelakkan krisis kemanusiaan menjadi bertambah buruk di wilayah Rakhine, kata Anifah.

Kedua-dua dokumen itu akan dipertimbangkan, dibincangkan dan dimuktamadkan pada Sesi Luar Biasa yang semua menteri luar dari 57 negara anggota OIC dijangka menghadirinya.

Menurut laporan, krisis yang berlarutan di wilayah Rakhine menyebabkan beribu-ribu masyarakat Rohingya lari meninggalkan Myanmmar dengan laporan mengenai kekejaman, termasuk merogol dan pembunuhan tetapi dinafikan oleh kerajaan Myanmar.