Seorang usahawan Vietnam giat mempromosikan kaedah yang paling mesra alam sekitar untuk menikmati minuman, iaitu dengan menggunakan straw atau penyedut yang diproses daripada sejenis rumput.

Reuters melaporkan, kaedah tersebut bukan sahaja membantu kelestarian alam, malah penyedut minuman rumput itu boleh digunakan semula dan boleh mereput secara semula jadi.

Tran Minh Tien, 32, mengusahakan syarikatnya, 3T, di sebuah kampung pedalaman di delta Sungai Mekong, barat Bandar Raya Ho Chi Minh.

Lokasi kampung itu berdekatan dengan kawasan paya yang banyak ditumbuhi rumput tinggi dan liar tersebut, yang dikenali dengan nama 'Gray’s Sedge' (Carex grayi).

Dalam operasi yang memerlukan tenaga dan kesabaran, Tien bersama pekerjanya akan menuai rumput itu, sebelum dipotong mengikut ukuran tertentu.

Ia seterusnya dibersihkan dan dipanggang dalam ketuhar, ataupun dijemur di bawah terik matahari selama dua hingga tiga hari.




Tien memulakan perniagaannya pada 2017, dan syarikatnya kini menghasilkan kira-kira 3,000 batang penyedut minuman rumput sehari, dengan hasil keuntungan sekitar AS$400 (RM1,655) sebulan.

Produknya itu boleh digunakan sehingga enam bulan, ujar Tien.

Namun, dia sedar bahawa jumlah pengeluaran produknya tidak tetap memandangkan bekalan rumput itu yang terbatas di Vietnam.

“Saya mendapat idea tentang penyedut minuman ini untuk menggantikan produk plastik untuk mengurangkan sebahagian kerosakan yang dihadapi alam sekitar,” ujarnya.

Sementara permintaan bertambah, Tien bagaimanapun harus berhati-hati untuk mengembangkan bisnesnya.

"Sejak awal, saya menjalankan perusahaan ini dengan menyedari bahawa kadar tuaian tidak boleh melebihi kadar pembiakan rumput ini secara semula jadi.

“Alam perlukan masa untuk pulih semula,” ujarnya.

Vietnam perupakan negara keempat terbesar di dunia yang menyumbang kepada pencemaran plastik di lautan, menurut kajian University of Georgia pada 2015.