Semua pelajar Malaysia yang berada di Gedung Bursa Efek Indonesia (BEI) dalam kejadian runtuhan lantai tingkat 1 Menara 2 bangunan itu semalam, selamat dan dijadualkan pulang ke tanah air esok.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim melahirkan rasa syukur kerana semua pelajar Management Science University (MSU) Malaysia yang mengikuti program Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 semalam itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Tiada kecederaan melibatkan rakyat Malaysia atau pelajar Malaysia yang berada berhampiran kawasan insiden. Saya juga turut bersimpati dengan mangsa-mangsa yang tercedera dan berdoa mereka sembuh dengan secepat mungkin," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, 77 mangsa dilaporkan cedera akibat terjatuh dan dihempap runtuhan lantai yang runtuh ke ruang lobi Menara 2 Gedung BIE itu.

Sementara itu, pensyarah MSU Nur Lalua Rashidah Mohd Rahsiad yang juga ketua delegasi pelajar ke program itu berkata ketika kejadian beliau dan majoriti pelajar berada di Dewan BIE yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan runtuhan.

"Ketika kejadian, waktu rehat dan makan tengah hari, terdapat juga pelajar di kawasan sekitar BEI, Alhamdulillah semuanya selamat," katanya.

Nur Lalua berkata beliau tiba di Jakarta pada Ahad lepas bersama dua lagi pensyarah MSU, 15 pelajar dan empat anggota keluarga pelajar.

"Rombongan kami ialah seramai 22 orang (termasuk empat anggota keluarga pelajar), 15 pelajar itu terdiri daripada 10 pelajar wanita dan lima pelajar lelaki bagi menyertai pertandingan Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 yang turut disertai Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Thailand," katanya.

Beliau berkata rombongan itu dijadual pulang ke Kuala Lumpur petang esok.- BERNAMA