Rusia mendakwa gelombang 'Russophobia' adalah hasil provokasi pentadbiran kerajaan Britain dalam skandal meracun bekas perisiknya Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia Skripal Mac lalu.

Jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov berkata terbaharu Britain menuduh berlakunya kegiatan rasuah oleh Rusia dalam urusan luar negara.

"Anda lihat bahawa gelombang 'Russophobia' ini tidak dicetuskan oleh beberapa insiden yang berkaitan dengan Britain atau rakyatnya.

"Tetapi ia tercetus susulan kes yang direka sendiri oleh Britain. Saya bercakap tentang apa yang disebut Skripal Affair," jelasnya.

Menyentuh dakwaan terbaharu tersebut, Peskov berkata sejak berdekad-dekad yang lalu urusan perniagaan oleh ahli perniagaan Rusia berlangsung dengan aman.

"Perniagaan Rusia yang besar berkembang dan membangun dan menjalankan pembangunan yang aman di luar negara.

"Perniagaan mereka kompetitif dan mereka cukup berjaya di sana.

"Namun sejak beberapa tahun yang lalu, kami melihat persaingan yang tidak ramah, tidak adil dan tidak sah, yang melanggar semua norma dan peraturan, " jelasnya.

Kenyataan Peskov tersebut merujuk kepada hasil dapatan Agensi Jenayah Kebangsaan Britain menganggarkan bahawa beratus-ratus bilion pound hasil penggubahan wang haram dibawa masuk melalui bank-bank di Britain setiap tahun termasuk dari Rusia.