Berita  | Dunia

RWC2019: Sonny B peraga jersi All Blacks

RWC2019: Sonny B peraga jersi All Blacks
Sonny Bill Williams menyarungkan jersi baharu keluaran jenama sukan gergasi, Adidas, sempena RWC2019 di Jepun. Twitter Sony Bill Willam
NEW ZEALAND: Bintang ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams memperagakan jersi All Blacks terbaharu keluaran jenama sukan gergasi, Adidas sempena Piala Dunia Ragbi  2019 (RWC2019) di Jepun yang akan berlangsung antara  20 September dan 2 November depan.

Atlet berusia 33 tahun itu menyarungkan jersi hasil inspirasi pereka fesyen terkemuka dari negara matahari terbit iaitu, Yohji Yamamoto.

Terdahulu, Williams menerusi akaun Twitter miliknya memuat naik gambar sambil berpeluk tubuh dengan kapsyen:

“The new @AllBlacks jersey created by Adidas Rugby & AdidasY3 “

Rata-rata netizen memberikan maklum balas yang positif selain memuji rekaan jersi pereka fesyen berusia 75 tahun itu.

Dalam pada itu, All Blacks yang merupakan juara edisi sebelumnya berharap untuk mengekalkan rentak kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut di Yokohama.

Jersi berona gelap itu turut direka khas dengan memaparkan ciri gabungan dua negara, New Zealand dan Jepun.

“Kami mahu mencipta jersi yang menyemarakkan lagi kebersamaan antara Jepun dan budaya Maori.

“Ia merupakan satu penghormatan bagi saya untuk bekerjasama dalam projek mega ini. Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya.

Pada Mac lalu, Williams yang menjadi umat Islam pertama bermain untuk All Blacks meluangkan masa melawat dan bertemu mangsa serangan ganas dalam tragedi di masjid Christchurch.

Beberapa hari selepas insiden serangan itu menggemparkan dunia, ibu atlet itu dan sahabat baiknya dilaporkan memeluk Islam.

Dalam pada itu, RWC2019 merupakan edisi kesembilan dalam penganjurannya sejak 1987 dan yang pertama memilih Asia sebagai tuan rumah.