LIMA ekor monyet klon yang melalui proses suntingan genetik telah dilahirkan di Shanghai pada Rabu.

Kelima-lima anak monyet berkenaan terbabit dalam satu penyelidikan khas berkaitan penyakit manusia.

Kesemua monyet itu diklonkan dengan suntingan genetik yang menyebabkan mereka mengalami masalah tidur, kemurungan dan Alzheimer.

Tujuannya ialah untuk membangun dan menguji ubat-ubatan sebelum ia digunakan ke atas manusia.

Namun, di sebalik usaha penyelidikan ini, timbul pula persoalan berkaitan etika bio perubatan.

Hal ini kerana, tindakan mengubah struktur genetik haiwan sehingga mengalami penyakit yang dihidapi manusia dianggap sebagai satu tindakan yang kejam.

Namun, tindakan ini dilihat sebagai yang terbaik dalam proses ujikaji dan pembangunan teknologi perubatan demi kebaikan manusia sejagat.





Akan tetapi, kawalan ketat perlu dilakukan agar hidupan yang diubah gen ini tidak terlepas kepada hidupan liar yang memungkinkan kesan lebih buruk kepada ekosistem alam sekitar.

Sebelum ini, komuniti saintifik menyelar tindakan saintis China yang mengesahkan kelahiran bayi yang disunting gen pertama di dunia.

Percubaan tersebut menyalahi etika penyelidikan serta dianggap mencemar nilai kemanusiaan.