Lebih seratus saintis mendesak temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro dipindah atau ditangguhkan susulan penularan virus Zika.

Dalam surat terbuka kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kumpulan saintis tersebut berpendapat adalah tidak beretika untuk meneruskan penganjuran sukan berkenaan.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 150 saintis, doktor dan ahli etika perubatan dari institusi termasuk Universiti Oxford, Yale dan Harvard di Amerika Syarikat.

Menurut mereka, kegagalan melaksanakan program membanteras nyamuk di negara itu, serta sistem kesihatan yang lemah, menjadi asas supaya Olimpik ditangguhkan.

Mereka berpandangan, sekiranya Olimpik diteruskan, ia bakal menjadi krisis kesihatan umum.

Kumpulan itu juga mendesak WHO mengkaji semula garis panduan pengendalian Zika, yang dikaitkan dengan kecacatan kelahiran

Penularan virus yang disebar menerusi nyamuk itu bermula di Brazil setahun yang lalu dan sehingga kini, lebih 60 negara dilaporkan mencatat penularan Zika.

Rio bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada Ogos tahun ini.