GARA-GARA lamaran kahwinnya ditolak, seorang lelaki membunuh seluruh ahli keluarga calon isterinya.

Kejadian yang mengerikan itu berlaku di sebuah kampung di Tulasai, India, kira-kira dua minggu lalu.

Mayat kelima-lima ahli keluarga calon isterinya itu bagaimanapun hanya berjaya ditemui pihak polis dalam hutan yang tidak jauh dari kampung berkenaan pada 1 April lalu.

Menurut polis tempatan, mangsa yang terlibat ialah Ram Singh Sirka, isterinya Pano Kui, anak perempuan mereka iaitu Rambha Sirka, 17 tahun, dan dua anak lelaki, Kod Sirka, 12 tahun dan Sonia Sirka, lapan tahun.

Pihak polis turut berkata suspek utama pembunuhan ialah Topay Boypai, seorang penduduk kampung yang dihormati.

Topay sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mengahwini anak Ram, namun lamarannya ditolak hingga menyebabkan hatinya terguris.

Pada pertengahan Mac lalu, ketika Ram sedang bekerja, suspek kembali ke kediaman Ram untuk membunuh isteri Ram serta ketiga-tiga anaknya.

Manakala Ram juga dibunuh ketika dia pulang ke rumah pada waktu malam oleh suspek dan lapan lagi rakannya.

Selepas polis menemui mayat keluarga terbabit, mereka menjalankan siasatan lalu memberkas suspek.

Polis tempatan, Sanjay Kumar mengatakan bahawa suspek mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut dan sedang memburu lapan lagi rakannya.