Masih ingat kekecohan yang ditimbulkan pengacara televisyen, Steve Harvey apabila tersalah umum pemenang pertandingan Miss Universe?

Cerita yang hampir sama berlaku lagi, tetapi kali ini oleh sebuah institusi pengajian tinggi.

Sebuah universiti di Amerika Syarikat menjadi kelam kabut apabila menyedari terdapat kesilapan dalam penghantaran surat tawaran kemasukan ke universiti berkenaan.

Laporan beberapa portal menyebut kesilapan teknikal yang berlaku dalam pangkalan data membuatkan 5,000 surat tawaran dikeluarkan dan dihantar kepada permohonan yang masih dalam pertimbangan.

Akibatnya, universiti berkenaan, State University of New York at Buffalo, terpaksa mengeluarkan permohonan maaf dan kenyataan menarik balik semua tawaran yang telah dihantar, ke laman web universiti tersebut.

Ia dibuat dalam tempoh empat jam selepas surat-surat itu dihantar ke emel pemohon.

Dalam kenyataan itu, pihak universiti meluahkan rasa kesal dengan kesilapan tersebut dan meminta maaf jika ia menyebabkan tekanan pada pemohon dan keluarga mereka.

Pihak universiti juga memberitahu pemohon yang terkesan dengan kesilapan itu, masih berpeluang melanjutkan ke universiti tersebut.