Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Beijing mendedahkan terdapat satu lagi kes import Zika dikesan selepas kes sama dilaporkan pada 15 Mei, lapor agensi berita China Xinhua.

Mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Song dari daerah Fengtai mula menunjukkan simptom virus itu seperti demam dan ruam ketika dalam perjalanan pulang dari Bolivia pada Sabtu.

Menurut kenyataan dikeluarkan CDC, lelaki itu memaklumkan simptom yang dihadapinya kepada pusat kawalan lapangan terbang.

Song kemudian dimasukkan ke hospital dan disahkan positif virus Zika, keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut pusat kawalan lebih banyak kes import Zika mungkin berlaku di Beijing kerana kekerapan perjalanan antara bandar itu dengan negara yang terjejas virus Zika.

Namun, pakar kesihatan berpendapat kemungkinan bahawa penyakit itu merebak di Beijing adalah rendah.