Satu per tiga daripada pusat bandar Tokyo bakal ditenggelami air dan hampir 4 juta orang akan terjejas jika taufan besar membadai ibu negara Jepun itu.

Amaran itu dikeluarkan dalam satu hasil kajian terbaharu pihak berkuasa tempatan, lapor AFP.

Kerajaan metropolitan Tokyo pada Jumaat buat kali pertama mendedahkan anggaran kemusnahan di ibu negara itu sekiranya dilanda ombak besar atau tsunami akibat taufan.

Pendedahan itu dibuat untuk membuat perbandingan kesan bencana, memandangkan risiko kemusnahan akibat ribut terus meningkat di seluruh dunia.

Berdasarkan laporan itu, 212 kilometer persegi atau satu per tiga daripada kawasan sentral bandar raya berkenaan, bakal ditenggelami air hingga kedalaman 10 meter jika taufan besar membawa ombak besar.

Selain itu, bencana yang sama dijangka memberi kesan kepada sejumlah 3.95 juta orang dalam bandar raya.

Kerajaan tempatan berkata, penenggelaman itu termasuk kawasan perniagaan, hiburan, komersial dan juga stesen-stesen kereta api.

Tokyo mempunyai populasi sejumlah 13.7 juta orang.

Kajian juga menunjukkan bahawa, sekiranya bencana itu terjadi, zon timur Tokyo iaitu berdekatan Sungai Arakawa akan mengalami banjir seleama lebih seminggu jika ombak besar di Pelabuhan Tokyo melepasi tembok tebing sungai.

Berdasarkan situasi tersebut, kerajaan Tokyo merancang untuk membaik pulih langkah-langkah evakuasi dan menilai kaedah penyampaian maklumat dan amaran.

Ribut besar sering melanda gugusan kepulauan Jepun, hingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan banjir yang lazimnya menyebabkan korban nyawa.