Masih banyak masalah yang perlu diselesaikan di mana memerlukan pengalaman dan masa untuk diperbetulkan, kata perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk itu, beliau berkata sukar untuk menentukan tarikh sebenar untuknya melepaskan jawatan kepada individu yang bakal memegang tampuk pemerintahan selepas ini.

“Saya janji saya tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasas kepada pengalaman, saya cuma boleh betulkan kesalahan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila saya puas hati, saya tidaklah akan teruskan tetapi saya tak dapat nak bagi masa tertentu kerana masalah negara ini amat besar dan tak mudah untuk kita selesaikan,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Ashgabat, Turkmenistan pada Ahad malam waktu tempatan.

Tambah beliau, “Hutang kita pun banyak dan jentera kerajaan pun telah dirosakkan Najib.

“Macam-macam lagi masalah yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib dan saya sedikit sebanyak mempunyai pengalaman untuk (menyelesaikan) masalah ini.”

Beliau turut mengulas mengenai pendirian PAS bahawa dia harus kekal sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, walaupun mengeluarkan fatwa yang mewajibkan ahli parti itu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi pada Ahad berkata, fatwa terbabit masih kekal relevan, biarpun dengan kesediaan PAS menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir.

Kata Tun Mahathir, “Itu pendapat mereka, yang akan menentukan adalah majlis presiden PH. Kita yang akan putuskan.

“Kalau dulu dia cadang saya jadi Perdana Menteri sebelum kita ada pilihan raya, dia ada hak (untuk kata) sama ada saya duduk lama (atau tidak).”

Beliau berkata demikian pada sidang media susulan lawatan rasminya selama dua hari atas jemputan Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov.