Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang akan menamatkan mandat pentadbirannya bulan depan telah ditawarkan tempat di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pengiktirafan kepada peranan beliau di peringkat antarabangsa, lapor media republik itu.

Tawaran itu disahkan oleh Menteri Luar republik itu, Marty Natalegawa pada Isnin. Katanya, selain memegang jawatan di PBB, Susilo juga menerima beberapa tawaran daripada beberapa pertubuhan antarabangsa yang lain.

"Sepengetahuan kami, beliau akan mempertimbangkan semua tawaran itu," katanya seperti dipetik oleh Tempo.co.

Marty tidak mendedahkan institusi yang menawarkan jawatan kepada Susilo sebaliknya meminta media mengajukan pertanyaan itu kepada presiden sendiri.

Sementara itu, jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha mendedahkan Susilo mendapat tawaran sekurang-kurangnya daripada tiga badan antarabangsa termasuk UNESCO, Persatuan Jepun-Indonesia dan Institut Pertumbuhan Hijau Global (GGGI).

Katanya, daripada tiga pertubuhan itu, Susilo cenderung memilih GGGI yang berpejabat di Seoul, Korea Selatan.

"Presiden SBY tidak berminat dengan badan-badan di bawah PBB," kata Julian seperti dipetik oleh The Jakarta Globe. "Presiden SBY nampaknya lebih berminat untuk mengetuai (GGGI) di Korea Selatan."

Dalam pada itu, jurucakap presiden bagi urusan hal ehwal antarabangsa, Teuku Faizasyah menafikan khabar angin bahawa Susilo menyimpan cita-cita untuk jadi setiausaha agung PBB.